OGOS 2023

Premier Saksikan Majlis Angkat Sumpah Asfia Sebagai Pemangku TYT


KUCHING, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg menyaksikan majlis mengangkat sumpah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN),Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar sebagai Pemangku Yang di-Pertua Negeri berkuat kuasa pada hari ini sehingga 17 September ini.

Istiadat angkat sumpah tersebut berlangsung di Bilik Menghadap Utama Astana Negeri, Petra Jaya pada jam 4 petang.

Hadir menyaksikan sumpah tersebut adalah Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Yang Arif Dato Dr. Alwi Abdul Wahab.

Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah membaca surat cara pelantikan yang telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari Istana Negara, Kuala lumpur sebelum menyaksikan upacara menandatangani surat pengisytiharan.

Sebelum ini, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia juga pernah memangku jawatan berkenaan sebanyak lima kali dan kali terakhir adalah pada 1 Disember 2019 hingga 11 Januari 2020.

Dalam masa sama beliau memegang jawatan sebagai Speaker DUN Sarawak sejak 15 Januari 2000 dan akan berakhir pada November depan.

Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia merupakan Lulusan Undang-Undang daripada Leeds University, England dan memperoleh Barrister-at-Law dariInner Temple, London.

Beliau memperoleh ijazah lanjutan dalam bidang Pengurusan Pelabuhan dan Perkapalan dari University of Wales, Cardiff selain bertugas sebagai Penasihat Undang-Undang Perbadanan Kemajuan dan Perindustrian Kayu Sarawak dari tahun 1974 hingga 1976, termasuk sebagai Peguamcara dan Peguambela dari tahun 1976 hingga 2000.

Turut hadir, isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, isteri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain. 

Sumber dari : Sarawakku